Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi

Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (Value Added Services, VAS) merupakan perkhidmatan yang boleh menjadi pilihan kepada pesakit dalam memudahkan mereka mendapatkan bekalan ubat susulan setiap bulan.

Antara faedah yang diperoleh daripada perkhidmatan ini adalah:

  • Memastikan kesinambungan bekalan ubat-ubatan kepada pesakit bagi meningkatkan komplians terhadap pengambilan ubat-ubatan.
  • Mengurangkan waktu menunggu pesakit
  • Mengurangkan kesesakan di ruang menunggu farmasi
  • Mengurangkan beban pesakit dari segi kos dan masa untuk mendapatkan ubat susulan

Antara Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi yang disediakan adalah:

  1. Sistem Temujanji
  2. Farmasi Pandu Lalu
  3. Ubat Melalui Pos
  4. Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)
  • Sistem Temujanji

Sistem Temujanji ini merupakan satu alternatif kepada sistem pendispensan di mana pesakit boleh menggunakan medium seperti telefon, SMS, e-mel, faks dan juga kad temujanji untuk memaklumkan tarikh temujanji kepada pihak farmasi bagi mendapatkan bekalan ubat susulan mereka.

Dengan menggunakan perkhidmatan ini, ubat-ubatan pesakit akan disediakan sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum tarikh temujanji. Oleh itu, pesakit tidak perlu menunggu lama bagi mendapatkan ubat mereka seterusnya menjimatkan masa menunggu dan mengurangkan kesesakan di ruang menunggu farmasi terutama di waktu puncak.

  • Farmasi Pandu Lalu

Fasiliti khas atau kaunter berasingan  di luar farmasi bagi pengambilan ubat susulan pesakit. Dengan menggunakan perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu menunggu lama kerana ubat telah tersedia selepas membuat temujanji dengan pihak farmasi. Pada hari temujanji, pesakit hanya perlu mendapatkan bekalan ubat secara pandu lalu tanpa perlu menghadapi masalah mencari tempat meletak kenderaan.

  • Perkhidmatan Ubat Melalui Pos

Satu perkhidmatan penghantaran bekalan ubat susulan pesakit ke destinasi pilihan pesakit di seluruh Malaysia dengan caj penghantaran yang minima. Perkhidmatan ini ditawarkan kepada pesakit yang mematuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak farmasi.

  • Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)

Satu sistem rujukan seragam di antara farmasi asal dan farmasi pilihan pesakit yang berhampiran dengan kediaman pesakit bagi pengambilan ubat susulan mereka. Inovasi kepada cara pendispensan ini dapat membantu pesakit dari aspek menjimatkan kos dan masa perjalanan pesakit untuk mendapatkan bekalan ubat susulan pada setiap bulan.

Senarai Hospital dan PKD Yang Menyediakan Perkhidmatan Tambah Nilai (kemas kini sehingga 12hb Jun 2018)

Capture4

myGov.fw moh.fw jpa.fw
info sihat.fw myhealth.fw

Jumlah Pengunjung: 12848056

  • Tarikh Kemas kini: 23 Jun 2022

 

Totop Scroller