Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi - Januari 11, 2023 @ 8:37am
KUALA LUMPUR: Kes harian COVID-19 di negara ini terus menunjukkan penurunan apabila sebanyak 380 kes dilaporkan setakat tengah malam tadi, berbanding 383 kes sehari sebelumnya.
Menerusi laman sesawang KKMNOW, kes yang dilaporkan itu membabitkan 369 kes penularan tempatan dengan 11 adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Perkembangan itu menjadikan sehingga kini jumlah penularan COVID-19 di negara ini mencecah 5,031,076 kes sejak ia dikesan di negara ini.
Secara keseluruhannya, negara masih mempunyai 11,412 kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 95 peratus bersamaan 10,844 kes sedang dalam kuarantin wajib di rumah.
Selain itu, terdapat 542 atau 4.7 peratus mendapatkan rawatan lanjut di hospital, unit rawatan rapi (ICU) (15) dengan 11 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sehingga kini, kadar penggunaan wad ICU di paras 65.5 peratus, alat bantuan pernafasan (39.4 peratus) dan katil hospital (75.8peratus).
Sebanyak sembilan kes kematian akibat jangkitan berkenaan dilaporkan semalam.
Ia menjadikan sehingga kini jumlah angka korban di negara ini sudah mencecah 36,892 kes dengan 7,858 kes pula
meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberikan.
Bagi jumlah kes sembuh di negara ini, setakat semalam terdapat sebanyak 373 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih daripada jangkitan berkenaan adalah 4,982,772 kes.